PELAWAT KEHORMAT

Monday, June 7, 2010

Satu Penilaian Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Perlu Dilakukan - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Satu penilaian berhubung keberkesanan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza perlu dilakukan bagi memastikan bantuan berkenaan dapat diterima penduduk Gaza, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata: "Kita perlu melakukan satu penilaian dahulu tentang keberkesanan kaedah untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza. Ini bukan hanya satu propaganda.

"Kita sangat bimbang akan barangan seperti simen, contohnya, langsung tidak dibenarkan Israel untuk dibawa masuk ke Gaza. Mereka (rakyat Palestin) mungkin menggunakannya untuk membina kubu bagi mempertahankan diri, tetapi tanpa simen mereka tidak dapat membina rumah," kata Dr Mahathir ketika ditanya mengenai rancangan seterusnya Perdana Global Peace Organisation (PGPO) bagi menghantar bantuan kemanusiaan berikutan rampasan armada kecil bantuan kemanusiaan ke Gaza oleh tentera Israel.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PGPO, berkata demikian selepas melancarkan tabung amal bagi mengumpul dana untuk pembangunan Kompleks Pendidikan Kiblah yang baru meliputi pembinaan sebuah sekolah menengah, pusat tahfiz dan pusat bahasa, di bawah naungan Yayasan Kebajikan Nusantara (Yakin).

Kompleks Pendidikan Kiblah yang baru itu dibina di Jenderam Hilir, Sepang.

PGPO adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang terbabit dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan. Ia terlibat dalam misi penghantaran Flotilla Bantuan Kemanusiaan Gaza beberapa minggu lepas tetapi Israel tidak membenarkan kapal berkenaan memasuki Gaza dan sebaliknya mengarahkan kapal-kapal berkenaan ke Pelabuhan Ashdod di Israel.

Tentera Israel juga menyerang satu daripada kapal berkenaan sehingga menyebabkan sembilan aktivis keamanan terkorban dan menimbulkan kemarahan masyarakat antarabangsa dan desakan Israel menarik balik sekatan di Gaza.

Ketika ditanya sama ada bantuan kemanusiaan itu akan dapat dihantar melalui udara, Dr Mahathir berkata beliau tidak fikir ia boleh dilakukan tetapi "ia mungkin boleh dilakukan menerusi darat".

"Jika Mesir membuka Raffah, mereka mahu memeriksa segala-galanya dan setiap barangan yang kita bawa, ini mungkin menyebabkan kelewatan dan mereka mungkin berpendapat barangan tertentu adalah berbahaya," katanya.

Terdahulu, semasa berucap, Dr Mahathir melahirkan harapan bahawa pembangunan Kompleks Pendidikan Kiblah yang baru akan menekankan kepada pemahaman dan pengajaran Al-Quran.

Pada majlis jamuan amal malam ini, Yayasan Kebajikan Nusantara menerima sumbangan kira-kira RM3.5 juta termasuk tiga juta Rial Qatar daripada Emir Qatar, yang disampaikan oleh Mufti Masjidil Haram Syeikh Dr Sulaiman Al-Saloomi.

Sumber : BERNAMA

Friday, June 4, 2010

Tujuan Perkahwinan Dalam Islam

Untuk Memenuhi Tuntutan Naluri Manusia Yang Asasi

Di tulisan terdahulu saya sebutkan bahawa perkahwinan adalah fitrah manusia, maka jalan yang sah untuk memenuhi keperluan ini iaitu dengan aqad nikah (melalui jenjang perkahwinan), bukan dengan cara yang amat kotor menjijikan seperti cara-cara orang sekarang ini dengan berpacaran , melacur, berzina, lesbian, homosex, dan sebagainya yang telah menyimpang dan diharamkan oleh Islam.

Untuk Membentengi Ahlak Yang Luhur

Sasaran utama dari disyari'atkannya perkahwinan dalam Islam di antaranya ialah untuk membentengi martabat manusia dari perbuatan kotor dan keji, yang telah menurunkan martabat manusia yang luhur. Islam memandang perkahwinan dan pembentukan keluarga sebagai sarana efefktif untuk memelihara pemuda dan pemudi dari kerosakan, dan melindungi masyarakat dari huru-hara. Rasulullah saw bersabda:

"Ertinya: Wahai para pemuda ! Barangsiapa diantara kamu berkemampuan untuk bernikah, maka nikahlah, kerana nikah itu lebih menundukkan pandangan, dan lebih membentengi farj (kemaluan). Dan barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia puasa (shaum), kerana shaum itu dapat membentengi dirinya". (Hadis Shahih Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa'i, Darimi, Ibnu Jarud dan Baihaqi).

Untuk Menegakkan Rumah Tangga Yang Islami

Dalam Al-Quran disebutkan bahawa Islam membenarkan adanya Thalaq (perceraian), jika suami isteri sudah tidak sanggup lagi menegakkan batas-batas Allah, sebagaimana firman Allah dalam ayat berikut:

“Thalaq (yang dapat dirujuki) dua kali, setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara ma'ruf atau menceraikan dengan cara yang baik. Tidak halal bagi kamu mengambil kembali dari sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali kalau keduanya khuwatir tidak akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah, maka tidak ada dosa atas keduanya tentang bayaran yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya. Itulah hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah mereka itulah orang-orang yang dhalim”. (Al-Baqarah: 229).

Yakni keduanya sudah tidak sanggup melaksanakan syari'at Allah. Dan dibenarkan rujuk (kembali nikah lagi) bila keduanya sanggup menegakkan batas-batas Allah. Sebagaimana yang disebutkan dalam surat Al-Baqarah lanjutan ayat di atas:

“Kemudian jika si suami menthalaqnya (sesudah thalaq yang kedua), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya hingga dikahwin dengan suami yang lain. Kemudian jika suami yang lain itu menceraikannya, maka tidak ada dosa bagi keduanya (bekas suami yang pertama dan isteri) untuk kahwin kembali, jika keduanya berpendapat akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Itulah hukum-hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui ”. (Al-Baqarah: 230).

Jadi tujuan yang luhur dari pernikahan adalah agar suami isteri melaksanakan syari'at Islam dalam rumah tangganya. Hukum ditegakkannya rumah tangga berdasarkan syari'at Islam adalah WAJIB. Oleh kerana itu setiap muslim dan muslimah yang ingin membina rumah tangga yang Islami, maka ajaran Islam telah memberikan beberapa kriteria tentang calon pasangan yang ideal:

1. Kafa'ah ( kesamaan )

Pengaruh materialisme telah banyak menimpa orang tua. Terlalu sedikit zaman sekarang ini orang tua yang memiliki pemikiran, bahawa di dalam mencari calon jodoh putra-putrinya, selalu mempertimbangkan keseimbangan kedudukan, status sosial dan keturunan saja. Sementara pertimbangan agama kurang mendapat perhatian. Masalah Kufu' (sederajat, sepadan) hanya diukur melalui material sahaja.

Menurut Islam, Kafa'ah atau kesamaan, kesepadanan atau sederajat dalam perkahwinan, dipandang sangat penting kerana dengan adanya kesamaan antara kedua suami isteri itu, maka usaha untuk mendirikan dan membina rumah tangga yang Islami inysa Allah akan terwujud. Tetapi kafa'ah menurut Islam hanya diukur dengan kualiti iman dan taqwa serta akhlak seseorang, bukan status sosial, keturunan dan lain-lainnya. Allah memandang sama darjat seseorang baik orang Arab mahupun bukan Arab, miskin atau kaya. Tidak ada perbedaan dari keduanya melainkan darjat taqwanya (Al-Hujuraat: 13).

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang-orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”. (Al-Hujuraat: 13).

Mereka tetap bersesuaian dan tidak ada halangan bagi mereka untuk menikah satu sama lain. Wajib bagi para orang tua, pemuda dan pemudi yang masih berfaham materialis dan mempertahankan adat istiadat wajib mereka meninggalkannya dan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Sabda Rasulullah saw:

"Ertinya: Wanita dikahwini kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu memilih kerana agamanya (ke-Islamannya), sebab kalau tidak demikian, niscaya kamu akan celaka". (Hadis Shahi Riwayat Bukhari 6:123, Muslim 4:175).

2.Memilih Yang Shalihah

Orang yang mahu bernikah harus memilih wanita yang salihah dan wanita harus memilih laki-laki yang salih.
Menurut Al-Quran wanita yang salihah ialah:

“Wanita yang salihah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri bila suami tidak ada, sebagaimana Allah telah memelihara (mereka)”. (An-Nisaa: 34).

Menurut Al-Quran dan Al-Hadis yang Sahih di antara ciri-ciri wanita yang salihah ialah:

"Taat kepada Allah, Taat kepada Rasul, Memakai pakaian yang menutup seluruh auratnya dan tidak untuk mempamerkan kecantikan (tabarruj) seperti wanita jahiliyah (Al-Ahzab: 32), Tidak berdua-duaan dengan laki-laki yang bukan mahram, Taat kepada kedua Orang Tua dalam kebaikan, Taat kepada suami dan baik kepada tetangganya dan sebagainya".

Bila kriteria ini dipenuhi Insya Allah rumah tangga yang Islami akan terwujud. Sebagai tambahan, Rasulullah saw menganjurkan untuk memilih wanita yang peranak dan penyayang agar dapat melahirkan generasi penerus umat.

Untuk Meningkatkan Ibadah Kepada Allah

Menurut konsep Islam, hidup sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah dan berbuat baik kepada sesama manusia. Dari sudut pandangan ini, rumah tangga adalah salah satu tanaman subur bagi peribadatan dan amal salih di samping ibadah dan amal-amal salih yang lain, sehinggakan menyetubuhi isteri pun termasuk ibadah (sedekah).

Rasulullah saw bersabda:

"Ertinya: Jika kamu bersetubuh dengan isteri-isteri kamu termasuk sedekah !. Mendengar sabda Rasulullah para shahabat kehairanan dan bertanya: "Wahai Rasulullah, seorang suami yang memuaskan nafsu berahinya terhadap isterinya akan mendapat pahala ?" Nabi saw menjawab: "Bagaimana menurut kamu jika mereka (para suami) bersetubuh dengan selain isterinya, bukankah mereka berdosa .? Jawab para shahabat:"Ya, benar". Beliau bersabda lagi: "Begitu pula kalau mereka bersetubuh dengan isterinya (di tempat yang halal), mereka akan memperoleh pahala !". (Hadis Shahih Riwayat Muslim 3:82, Ahmad 5:1167-168 dan Nasa'i dengan sanad yang Shahih).

Untuk Mencari Keturunan Yang Shalih

Tujuan perkahwinan di antaranya ialah untuk melestarikan dan mengembangkan bani Adam, Allah berfirman yang bermaksud:

“Allah telah menjadikan dari diri-diri kamu itu pasangan suami isteri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang bathil dan mengingkari nikmat Allah?”. (An-Nahl: 72).

Dan yang terpenting lagi dalam perkahwinan bukan hanya sekadar memperoleh anak, tetapi berusaha mencari dan membentuk generasi yang berkualiti, iaitu mencari anak yang salih dan bertaqwa kepada Allah.

Tentunya keturunan yang salih tidak akan diperoleh melainkan dengan pendidikan Islam yang benar. Kita sebutkan demikian kerana banyak "Lembaga Pendidikan Islam", tetapi isi dan caranya tidak Islami. Sehingga ramai yang kita lihat anak-anak kaum muslimin tidak memiliki akhlak Islami, diakibatkan kerana pendidikan yang salah. Oleh kerana itu suami isteri bertanggungjawab mendidik, mengajar, dan mengarahkan anak-anaknya ke jalan yang benar.

Implikasi daripada tujuan perkahwinan di dalam Islam, Islam juga memandang bahawa pembentukan keluarga itu sebagai salah satu jalan untuk merealisasikan tujuan-tujuan yang lebih besar yang meliputi berbagai aspek kemasyarakatan berdasarkan Islam yang akan mempunyai pengaruh besar dan mendasar terhadap kaum muslimin dan eksistensi umat Islam.

Sunday, May 30, 2010


"KEM MANTAP AL-QURAN 2010"

MAAHAD TAHFIZ KIBLAH

PENDAFTARAN PENGAMBILAN UNTUK
BULAN JUN DIBUKA SEKARANG.

MAKLUMAT PROGRAM:

TARIKH : 6 - 18 JUN 2010

TEMPAT : MAAHAD TAHFIZ KIBLAH

YURAN :

PENDAFTARAN :
RM 50

PENGAJIAN + MAKAN/MINUM + PENGINAPAN :
RM 400

SASARAN : LELAKI DAN PERMPUAN
( 7 - 15 TAHUN)

MAKLUMAT LANJUT HUBUNGI :

USTAZ ZAHARUDDIN : 019-331 0034

USTAZ NAZIM : 017-376 2425

*PENYERTAAN ADALAH TERHAD.

*FASILITATOR DIPERLUKAN.

Saturday, May 29, 2010

Islam Nikah dan Bujang


Agama Islam adalah agama fithrah, dan manusia diciptakan Allah Ta'ala bersesuaian dengan fitrah ini, kerana itu Allah Subhanahu wa Ta'ala menyuruh manusia menghadapkan diri ke agama fithrah agar tidak terjadi penyelewengan dan penyimpangan. Sehingga manusia berjalan di atas fithrahnya.

Perkahwinan adalah fitrah kemanusiaan, maka dari itu Islam menganjurkan untuk bernikah, kerana nikah merupakan gharizah insaniyah (naluri kemanusiaan). Bila gharizah ini tidak dipenuhi dengan jalan yang sah iaitu perkahwinan, maka ia akan mencari jalan-jalan syaitan yang banyak menjerumuskan ke lembah yang hitam. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. (Ar-Ruum: 30).

Islam Menganjurkan Nikah

Islam telah menjadikan ikatan perkahwinan yang sah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai satu-satunya sarana untuk memenuhi tuntutan naluri manusia yang sangat asasi, dan sarana untuk membina keluarga yang Islami. Penghargaan Islam terhadap ikatan perkahwinan adalah amat besar , sehinggakan ikatan itu diletakkan sebanding dengan separuh agama. Anas bin Malik radliyallahu 'anhu berkata: "Telah bersabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam:

"Ertinya: Barangsiapa menikah, maka ia telah melengkapi separuh dari agamanya. Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam memelihara yang separuhnya lagi". (Hadist Riwayat Thabrani dan Hakim).

Islam Tidak Menyukai Membujang

Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam memerintahkan untuk menikah dan melarang keras kepada orang yang tidak mahu bernikah. Anas bin Malik radliyallahu 'anhu berkata: "Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam memerintahkan kami untuk nikah dan melarang kami membujang dengan larangan yang keras". Dan beliau bersabda:
"Ertinya: Nikahilah perempuan yang ramai anak dan penyayang. Kerana aku akan berbangga dengan banyaknya umatku dihadapan para Nabi kelak di hari kiamat". (Hadis Riwayat Ahmad dan di shahihkan oleh Ibnu Hibban).

Pernah suatu ketika tiga orang shahabat datang bertanya kepada isteri-isteri Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam tentang peribadatan beliau, kemudian setelah diterangkan, masing-masing ingin meningkatkan peribadatan mereka. Salah seorang berkata: Adapun saya, akan puasa sepanjang masa tanpa putus. Dan yang lain berkata: Adapun saya akan menjauhi wanita, saya tidak akan kahwin selamanya .Ketika hal itu didengar oleh Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam, beliau keluar seraya bersabda:

"Ertinya: Benarkah kalian telah berkata begini dan begitu, sungguh demi Allah, sesungguhnya akulah yang paling takut dan taqwa di antara kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku shalat dan aku juga tidur dan aku juga mengawini perempuan. Maka barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, maka ia tidak termasuk golonganku". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Orang yang mempunyai akal dan bashirah tidak akan mahu menjerumuskan dirinya ke jalan kesesatan dengan hidup membujang. Kata Syaikh Hussain Muhammad Yusuf: "Hidup membujang adalah suatu kehidupan yang kering dan gersang, hidup yang tidak mempunyai makna dan tujuan. Suatu kehidupan yang hampa dari berbagai keutamaan insani yang pada umumnya ditegakkan atas dasar egoisme dan mementingkan diri sendiri serta ingin terlepas dari semua tanggungjawab".

Orang yang membujang pada umumnya hanya hidup untuk dirinya sendiri. Mereka membujang bersama hawa nafsu yang selalu bergelora, hingga kemurnian semangat dan rohaninya menjadi keruh. Mereka selalu ada dalam pergolakan melawan fitrahnya, walaupun ketaqwaan mereka kental, namun pergolakan yang terjadi secara terus menerus lama kelamaan akan melemahkan iman dan ketahanan jiwa serta mengganggu kesehatan dan akan membawanya ke lembah kemungkaran.

Jadi orang yang enggan menikah baik lelaki atau perempuan, maka mereka itu sebenarnya tergolong orang yang paling sengsara dalam hidup ini. Mereka itu adalah orang yang paling tidak menikmati kebahagiaan hidup, baik kesenangan bersifat seksual mahupun spiritual. Mungkin mereka kaya, namun mereka miskin dari kurnia Allah.

Islam menolak sistem ke-rahib-an kerana sistem tersebut bertentangan dengan fitrah kemanusiaan, dan bahkan sikap itu bererti melawan sunnah dan kudrat Allah Ta'ala yang telah ditetapkan bagi makhluknya. Sikap enggan membina rumah tangga kerana takut miskin adalah sikap orang jahil (bodoh), kerana semua rezeki sudah diatur oleh Allah sejak manusia berada di alam rahim, dan manusia tidak boleh menteorikan rezeki yang dikurniakan Allah, misalnya ia berkata: "Bila saya hidup sendiri gaji saya cukup, tapi bila mempunyai isteri tidak cukup ?!".

Perkataan ini adalah perkataan yang batil, kerana bertentangan dengan ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam. Allah memerintahkan untuk berkahwin, dan seandainya mereka fakir pasti Allah akan membantu dengan memberi rezeki kepadanya. Allah menjanjikan suatu pertolongan kepada orang yang bernikah, dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (An-Nur: 32).

Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam menguatkan janji Allah itu dengan sabdanya:

"Ertinya: Ada tiga golongan manusia yang berhak untuk Allah menolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka, dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya". (Hadis Riwayat Ahmad 2: 251, Nasa'i, Tirmidzi, Ibnu Majah hadis No. 2518, dan Hakim 2: 160 dari shahabat Abu Hurairah radliyallahu 'anhu).

Para Salafus-Shalih sangat menganjurkan untuk bernikah dan mereka sangat anti pada membujang, serta tidak suka lama-lama hidup sendiri.

Ibnu Mas'ud radliyallahu 'anhu pernah berkata: "Jika umurku tinggal sepuluh hari lagi, sungguh aku lebih suka menikah daripada aku harus menemui Allah sebagai seorang yang bujang". (Ihya Ulumuddin dan Tuhfatul 'Arus hal. 20).


Sunday, May 23, 2010

Jangan Tertipu Dengan Dakwaan Ash'ari ( Abuya ) Tak Mati !



Oleh: Ust. Ahmad Baei Jaafar


Subhanallah, Subhanallah, Subhanallah, Maha Suci Allah daripada sikap manusia yang berkepentingan, Maha Suci Allah daripada kejahilan pengikut yang taasub, Maha Suci Allah daripada ummat yang syirik secara sedar. Ya Allah aku berlindung di sisi-Mu daripada ummat yang sesat atas kebodohan mereka sendiri.

Belumpun seminggu ustaz Ashaari Mohammad meninggal dunia, pelbagai cerita dalaman yang boleh kita dengar. Ada yang dapat dihidu oleh bekas pengikutnya dan banyak lagi yang terus disembunyikan demi muslihat tertentu. Walau apapun semuanya adalah terkandung dalam agenda yang tersembunyi golongan tertentu.

Bagi bekas pengikut ustaz Ashaari, pengikut al-Arqam (bukan rufaqa dan global ikhwan), apa saja dakwaan yang didengari dari sana tidaklah pelik. Malah mereka sudah dapat menyangkakan apa yang akan terjadi selepas Ashaari meninggal dunia. Oleh sebab itu mereka tidak terkejut dengan dakwaan Khatijah Aam yang mengesahkan bahawa Ustaz Ashaari tidak mati, tetapi ghaib seperti ghaibnya Syeikh Suhaimi dan dia akan kembali sedikit masa lagi sementara anak-anak buah 'ikhwan' melakukan mujahadatunafsi.

Hakikatnya semua dakwaan itu melambangkan betapa mereka terlalu sayang dan cinta kepada pemimpin mereka sekali gus meletakkannya sebagai penyelamat ummah. Sebenarnya peristiwa seperti ini pernah berlaku dalam sejarah silam. Bukankah apabila Rasulullah disahkan wafat, orang pertama yang menolak berita kewafatan itu ialah Umar al-Khattab. Dia tidak boleh terima Rasulullah boleh mati dan tidak sanggup melihat Rasulullah dikebumikan seperti orang lain dikebumikan.

Mujurlah ketika itu datang Abu Bakar as-Siddiq, dia dengan tegas berkata, "Barang siapa menyembah Muhammad, maka Muhammad sekarang telah wafat, dan barang siapa menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah kekal, hidup, dan tidak akan mati."
Dengan penegasan itu Umar dan orang yang seumpama dengannya mula tersedar daripada lamunan taasub, lalu menerima hakikat kewafatan Rasulullah. Tidak ada yang murtad dengan peristiwa itu kerana kepantasan dan ketegasan Abu Bakar dalam tindakan. Tetapi peristiwa seperti ini kemudiannya turut berlaku dalam kalangan pengikut Syiah iaitu apabila seorang pemimpin mereka dikatakan ghaib dan akan muncul sebagai iman Mahdi kelak. Oleh sebab tidak ada watak Abu Bakar ketika itu, maka pengikut syiah terus tersesat dengan keyakinan itu.
Begitu juga yang pernah berlaku kepada Syeikh Suhaimi, mengikutnya mendakwanya dia juga ghaib bukan mati. Mujur anaknya, Taha Suhaimi juga seorang alim, dia tidak taasub dengan berita itu. Tetapi apa yang berlaku kepada ustaz Ashaari, kematiannya dinafikan oleh isterinya (orang lain saya tidak dengar pula ceritanya), kononnya ghaib dan akan kembali semula. Sayang waktu ini tidak ada watak Abu Bakar lagi. Maka apa yang didakwa oleh isteri Ashaari itu diterima sepenuhnya oleh pengikutnya.

Walaupun kemudiannya dakwaan itu dinafikan oleh menantunya, Loqman al-Hakim tetapi penafian itu masih kabur dan berbau taqiah. Loqman belum menyamai watak Abu Bakar malah lebih jauh untuk dibandingkan dengannya.

Saya dalam tulisan ini tidak berniat untuk memanjangkan kisah khurafat ini tetapi sekadar hendak mengingatkan kawan-kawan juga adik-adik saya yang masih ada iman di hati mereka. Ketahuilah, anda selama ini ditipu oleh orang yang berkepentingan. Yang pasti dia bukan ustaz Ashaari, tetapi saya percaya anda tahu siapa dia.

Bagi mereka yang masih tertutup pintu hati mungkin akan marah kepada saya, itu hak mereka, namun saya tetap doakan agar hidayah Allah sampai juga kepada mereka akhirnya. Namun saya yakin, mereka yang masih ada iman kepada Allah akan mampu mencelikkan hati masing-masing.

Kawan-kawan, sedarkah anda, kenapa anda masih kekal bersama Rufaqa dan kini Global Ikhwan? Saya yakin, anda di sini kerana telah digula-gulakan bahawa daulah akan berlaku di tangan Abuya. Anda termakan dengan janji-janji keramat yang anda yakin datang daripada Abuya. Walaupun Abuya sakit tidak boleh bercakap, anda yakin Abuya masih boleh memberi mesej kepada anda.

Selain itu, Ashaari yang tidak boleh bercakap kerana masalah geraham dan mulut itu didakwa direhatkan Allah daripada berkata-kata. Alasannya, sebelum ini dia sudah lama dan banyak bercakap memberi nasihat, maka sampai masanya dia berehat.

Anda semua percaya dakwaan itu kerana anda percaya kenyataan itu datang daripada Abuya sendiri walaupun anda tahu bahawa dia tidak boleh bercakap. Memang dia tidak boleh bercakap dengan baik tetapi didakwa boleh bercakap dengan orang tertentu atau setidak-tidaknya boleh difahami oleh orang tertentu. Malah orang tertentu itu boleh mentafsirkan yang tersirat daripada apa yang diucapkan olehnya. Anda semua percaya sebab anda yakin Abuya ada karamahnya.

Tahukah anda kenapa dakwaan itu boleh lahir daripada orang yang berkepentingan itu? Saya percaya malah anda juga percaya kalau ustaz Ashaari telah disahkan tidak boleh bercakap dan akan mati dan daulah tidak akan berlaku di tangannya, tidak siapa yang akan sanggup menghabiskan wang setiap bulan menyumbang kepada Ashaari dan keluarganya. Tidak akan ada orang yang mahu bersimpati menginfakkan hartanya untuk perjuangan Ashaari yang belum selesai itu. Tidak akan ada pengikutnya yang sanggup bekerja siang malam dengan syarikat-syarikatnya dengan hanya gaji yang sedikit.

Menyedari hakikat itu, maka pihak yang berkepentingan itu akan mencipta cerita-cerita baru yang kononnya datang daripada Abuya. Sebagai membuktikan dakwaannya, Abuya dibawa ke sana sini untuk berjumpa dengan pengikutnya seluruh Malaysia, malah ke Thailand. Bayangkan dalam keadaan sakit itu dia diusung ke sana ke sini semata-mata untuk memberitahu pengikut bahawa Ashaari masih relevan. Padahal hakikatnya adalah untuk mendapatkan simpati.
Saya percaya kalau ustaz Ashaari boleh bercakap dan berkuasa menepis sesuatu dakwaan, dia akan nafikan apa yang diberitahu oleh orang yang berkepentingan itu. Tetapi dia tidak mampu kerana ada kuasa lain yang mengatasinya. Bayangkan kalau semasa dia boleh bercakap pun ada pihak yang memonitor tutur katanya, apatah lagi sewaktu uzurnya.

Sebenarnya Allah sayangkan ustaz Ashaari, lalu pada 13 Mei, 2010 jam 2.10 petang rohnya diambil di sebuah hospital swasta di Ipoh. Allah tidak mahu dia terus diperalatkan oleh orang yang berkepentingan. Itupun ketika itu, semua pengikut setianya tidak diberitahu berita sebenar. Masing-masing apabila ditanya berkata, berita itu belum sahih sedangkan doktor telah membuat pengesahan.

Tahukah anda kenapa berita itu tidak diberitahu dengan segera? Mereka tahu, kalau pengikut tahu tentu mereka akan kecewa kerana daulah yang diharapkan tidak berlaku. Oleh sebab itu berita itu disembunyikan sementara mencari idea bagaimana untuk meyakinkan pengikut bahawa daulah akan tetap berlaku di tangan Abuya. Di sinilah timbulkan idea bahawa Abuya ghaib dan akan kembali semula setelah semua pengikutnya bertaubat.
Dengan dakwaan ini, pengikut akan kembali yakin dan akan terus memberi sumbangan kepada keluarga Ashaari. Pada masa yang sama pengikut akan bertaubat dan bekerja kuat untuk daulah dan terus menyumbang wang bulanan kepada keluarganya. Hakikatnya pengikut yang memberi gaji kepada mereka.

Inilah agenda sebenar golongan yang berkepentingan ini. Inilah agenda yang tersebunyi yang tidak pernah didedahkan kepada umum. Tetapi demi menyelamatkan iman pengikutnya yang ikhlas berjuang bersama Ashaari, saya doakan mereka agar kembali kepada kebenaran. Semoga ada pengikut Abuya sudi membaca kenyataan ini dengan hati yang terbuka.

Mengakhiri tulisan suka saya nyatakan bahawa orang yang berkepentingan ini memang berniat jahat terhadap Arwah, maka sebab itulah tidak digalakkan sebarang majlis tahlil dan Yasin atau menghadiahkan al-Fatihah kepada Arwah. Sedangkan orang yang mati, lazimnya dibacakan doa dan tahlil, apatah lagi gurunya, tentu wajar dibacakan tahlil dan Yasin oleh anak muridnya.
Saya doakan Ustaz Ashaari selamat di alam barzah dan damai di sana tanpa gangguan orang yang berkepentingan lagi. Pada masa yang sama, pengikut setia yang masih ada iman itu, diseru sekali lagi agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, semoga kita tidak lagi ditipu sepanjang hidup.