PELAWAT KEHORMAT

Monday, June 7, 2010

Satu Penilaian Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Perlu Dilakukan - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Satu penilaian berhubung keberkesanan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza perlu dilakukan bagi memastikan bantuan berkenaan dapat diterima penduduk Gaza, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata: "Kita perlu melakukan satu penilaian dahulu tentang keberkesanan kaedah untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza. Ini bukan hanya satu propaganda.

"Kita sangat bimbang akan barangan seperti simen, contohnya, langsung tidak dibenarkan Israel untuk dibawa masuk ke Gaza. Mereka (rakyat Palestin) mungkin menggunakannya untuk membina kubu bagi mempertahankan diri, tetapi tanpa simen mereka tidak dapat membina rumah," kata Dr Mahathir ketika ditanya mengenai rancangan seterusnya Perdana Global Peace Organisation (PGPO) bagi menghantar bantuan kemanusiaan berikutan rampasan armada kecil bantuan kemanusiaan ke Gaza oleh tentera Israel.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PGPO, berkata demikian selepas melancarkan tabung amal bagi mengumpul dana untuk pembangunan Kompleks Pendidikan Kiblah yang baru meliputi pembinaan sebuah sekolah menengah, pusat tahfiz dan pusat bahasa, di bawah naungan Yayasan Kebajikan Nusantara (Yakin).

Kompleks Pendidikan Kiblah yang baru itu dibina di Jenderam Hilir, Sepang.

PGPO adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang terbabit dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan. Ia terlibat dalam misi penghantaran Flotilla Bantuan Kemanusiaan Gaza beberapa minggu lepas tetapi Israel tidak membenarkan kapal berkenaan memasuki Gaza dan sebaliknya mengarahkan kapal-kapal berkenaan ke Pelabuhan Ashdod di Israel.

Tentera Israel juga menyerang satu daripada kapal berkenaan sehingga menyebabkan sembilan aktivis keamanan terkorban dan menimbulkan kemarahan masyarakat antarabangsa dan desakan Israel menarik balik sekatan di Gaza.

Ketika ditanya sama ada bantuan kemanusiaan itu akan dapat dihantar melalui udara, Dr Mahathir berkata beliau tidak fikir ia boleh dilakukan tetapi "ia mungkin boleh dilakukan menerusi darat".

"Jika Mesir membuka Raffah, mereka mahu memeriksa segala-galanya dan setiap barangan yang kita bawa, ini mungkin menyebabkan kelewatan dan mereka mungkin berpendapat barangan tertentu adalah berbahaya," katanya.

Terdahulu, semasa berucap, Dr Mahathir melahirkan harapan bahawa pembangunan Kompleks Pendidikan Kiblah yang baru akan menekankan kepada pemahaman dan pengajaran Al-Quran.

Pada majlis jamuan amal malam ini, Yayasan Kebajikan Nusantara menerima sumbangan kira-kira RM3.5 juta termasuk tiga juta Rial Qatar daripada Emir Qatar, yang disampaikan oleh Mufti Masjidil Haram Syeikh Dr Sulaiman Al-Saloomi.

Sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment