Tuesday, September 6, 2011
Salam Lebaran Kepada Seluruh Ummat Islam
Monday, January 17, 2011
Baca Kuat Selain Azan
sumber : drmaza.com
oleh : Prof Madya Dr. Asri Zainal Abidin
Saya ingin mengulas sedikit tentang bacaan-bacaan –selain azan- yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai. Bacaan ini telah mengelirukan orang bukan muslim sehingga mereka menyangka ia azan. Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah‘perjuangan mempertahankan Islam’. Saya ingin mengulas hal ini seperti berikut;
1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.
2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.
3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.
4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:
“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.
Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:
“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa.. tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid.. dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini.. boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).
Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.
5. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:
“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?
6. Maka, dengan itu umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salahfaham banyak pihak.
Thursday, January 13, 2011
Ringkasan Biodata Para Imam Mazhab
Imam Hanafi dilahirkan pada tahun 80 Hijrah bertepatan tahun 699 Masehi di sebuah kota bernama Kufah. Nama yang sebenarnya ialah Nu’man bin Tsabit bin Zautha bin Maha. Kemudian masyhur dengan gelaran Imam Hanafi. Berketurunan Parsi bukan dari bangsa arab atau bahasa lainnya digelar orang "Ajam"
Kemasyhuran nama tersebut menurut para ahli sejarah ada beberapa sebab:
-Kerana ia mempunyai seorang anak laki-laki yang bernama Hanifah, maka ia diberi julukan dengan Abu Hanifah.
-Kerana semenjak kecilnya sangat tekun belajar dan menghayati setiap yang dipelajarinya, maka ia dianggap seorang yang hanif (kecenderungan/condong) pada agama. Itulah sebabnya ia masyhur dengan gelaran Abu Hanifah.
-Menurut bahasa Persia, Hanifah bererti tinta. Imam Hanafi sangat rajin menulis hadith-hadith, ke mana, ia pergi selalu membawa tinta. Kerana itu ia dinamakan Abu Hanifah.
2. Al-imam Malik :
Imam Malik dilahirkan di sebuah perkampungan kecil yang bernama Ashbah, yang terletak di dekat Kota Himyar jajahan Yaman. Nama aslinya ialah Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir Al-Ashabally. Beliau adalah seorang ulama besar yang lahir di Madinah serta mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap dunia Islam.
3. Al-imam Asy-syafie :
Imam Syafie bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.
Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah kampung yang termasuk daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.
Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.
Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.
Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Irak, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.
Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.
4. Al-imam Ahmad ibn Hambal :
Imam Ahmad bin Muhammad bin Hambal. Beliau adalah Imam yang keempat dari fuqahak Islam. Beliau memiliki sifat-sifat yang luhur dan tinggi. Ahmad bin Hambal dilahirkan di Baghdad pada bulan Rabiul Awal tahun 164H. Beliau termasyhur dengan nama datuknya Hambal, kerana datuknya lebih masyhur dari ayahnya.
Ibnu Hambal hidup dalam keadaan miskin, kerana ayahnya hanya meninggalkan sebuah rumah kecil dan tanah yang sempit. Beliau terpaksa melakukan berbagai pekerjaan. Beliau pernah bekerja di tempat tukang jahit, mengambil upah menulis, menenun kain dan kadangkala mengambil upah mengangkat barang-barang orang. Beliau lebih mementingkan makanan yang halal lagi baik dan beliau tidak senang menerima hadiah-hadiah.
Ketika ia masih berumur 14 tahun, Ahmad bin Hambal telah belajar mengarang dan menghafal Al-Quran. Beliau bekerja keras dalam menuntut ilmu pengetahuan. Sebagai seorang ulama yang sangat banyak ilmunya, Ibnu Hambal pun seorang yang teguh imannya, berani berbuat di atas kebenaran. Dia tidak takut bahaya apa pun terhadap dirinya di dalam menegakkan kebenaran itu. Kerana Allah memang telah menentukan bahawa setiap orang yang beriman itu pasti akan diuji keimanannya. Termasuk juga para nabi dan rasul yang tidak pernah lepas dari berbagai ujian dan cubaan.
Ujian dan cubaan berupa fitnah, kemiskinan, seksaan dan lain-lainnya itu selalu akan mendampingi orang-orang yang beriman apalagi orang yang menegakkan kebenaran. Demikian juga halnya dengan Imam Hambali, terlalu banyak bahaya yang dihadapinya dalam berjuang menegakkan kebenaran agama. Ujian itu datangnya bermacam-macam kadangkala dari musuh kita dan dapat juga timbul dari kawan-kawan yang merasa iri dengan kebolehan seseorang.
Thursday, December 30, 2010
Perspektif Islam Terhadap Kuasa Ibu dan Suami
Allah sekiranya dia menyakiti hati dua golongan tadi. Sebagai contoh; seorang isteri yang melukai hati suaminya walau sedikit akan berdosa besar (bukan dalam kes terkecuali) begitu juga anak-anak terhadap ibunya.